bangunan sekolah

Sejarah Nama Sekolah SK Dato’ Onn Jaafar

Sekolah Kebangsaan Dato’ Onn Jaafar (SKDOJ) merupakan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan yang terletak di KM 72 Jalan Johor, Simpang Renggam. Sekolah ini boleh dilihat dengan jelas apabila melalui jalana lama yang menghubungkan antara Bandar Kulai dan Pekan Ayer Hitam.

Pada awal penubuhannya, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam 2. Angka “2” tersebut bermaksud sekolah rendah kedua yang menggunakan nama yang sama bagi membezakan nama Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam yang sudah lama bertapak di bandar ini.  Selain itu, sebuah sekolah menengah yang menggunakan nama SMK Simpang Renggam menambahkan lagi kekeliruan kerana ketiga-tiga nama sekolah ini hampir sama. Maka tidak hairanlah jika ada penlawat atau pegawai yang ingin berurusan ke ketiga-tiga sekolah ini sering berlaku kekeliruan dan tersalah tempat untuk berurusan.

Hal ini amat menyulitkan, maka pihak pentadbir SK Simpang Renggam 2 dan Persatuan PIBG pada ketika itu telah mengorak langkah membincangkan nama lain yang sesuai bagi menggantikan nama “Simpang Renggam 2” kepada nama yang lebih sesuai dan beridentiti tersendiri.

Pada tahun 2007, satu mesyuarat khas telah diadakan oleh pihak pentadbir sekolah dan persatuan PIBG sekolah ini. Hasil perbincangan tersebut nama “SK Dato’ Onn Jaafar” telah dipilih sebagai nama  baru bagi menggantikan nama “SK Simpang Renggam 2”. Urusan pertukaran nama tersebut telah diajukan kepada pihak yang bertanggungjawab di setiap bahagian dalam Kementerian Pendidikan Malaysia ketika itu.

Pada tahun 2008, nama sekolah ini telah mendapat perhatian oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan diluluskan. Maka pada tahun tersebut secara rasminya nama sekolah SK Simpang Renggam 2 telah bertukar menjadi SK Dato’ Onn Jaafar.

 

Awal Penubuhan

Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam 2 (1995 – 2007) mula ditubuhkan pada hari 1 Disember 1995 di Simpang Renggam, Johor. Pada awal penubuhannya, sesi persekolahan sekolah ini ketika itu hanya menumpang dan berkongsi buat sementara bangunan Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam (SK Simpang Renggam) sementara menunggu bangunannya sendiri yang ada sekarang siap dibina,

Pada awalnya, matlamat utama pihak kerajaan ingin mewujudkan sekolah ini adalah kerana ingin menampung keperluan akses pendidikan kepada penduduk di Simpang Renggam yang saban tahun semakin bertambah seiring dengan kepesatan perkembangan bandar ini yang dilihat begitu strategik dari segi kepentingan ekonomi. Kepesatan kegiatan ekonomi ini mewujudkan pusat-pusat perniagaan dan taman perumahan baru tumbuh satu persatu setiap tahun.

Tanggal 1 Januari 1997, penantian selama dua tahun untuk melihat bangunan sekolah sendiri beroperasi akhirnya tercapai. Bangunan sekolah ini tersergam indah terletak di atas sebuah bukit di tepi jalan KM 72 Jalan Johor iaitu yang menghubungkan bandar Kulai dan pekan Ayer Hitam manakala jarak sekolah ini dari pusat bandar Simpang Renggam adalah 2 KM sahaja.

Pada ketika itu, sekolah ini mempunyai 3 buah blok utama dan tenaga pengajarnya seramai 16 orang dan murid-murid seramai 352 orang  sahaja. Pada masa yang sama, Kakitangan sokongan yang membantu urusan pentadbiran sekolah ini hanya seorang sahaja. Situasa ini amat jauh berbeza jika dibandingkan senario sekolah SK Dato’ Onn Jaafar sekarang di mana semuanya telah berkembang pesat samada dari sudut penambahan blok bangunan, kemudahan-kemudahan, jumlah murid dan lain-lain. Tidak hairanlah pada tahun 2001 sekolah ini terpaksa beroperasi dua sesi bagi menampung jumlah murid yang ramai dan kemudahan bilik darjah yang tidak mencukupi.